Pages

Wednesday 27 June 2012

Tinta Pentadbir





Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan inayahnya, saya berkesempatan untuk menukilkan citra,impian dan harapan saya bagi dikongsi bersama warga Sekolah Menengah Sains Sembrong (SASEM) yang saya hormati dan kasihi.
Pertamanya, syabas dan tahniah kepada semua warga SASEM yang telah menyumbang tenaga dengan penuh komitmen dan tanggungjawab dalam melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan. Tahniah dan terima kasih juga diberikan kepada pereka laman sesawang ini, Pn. Halilah Bt Hassan dan Cik Sarina Bt Ismail kerana telah berjaya menghasilkan satu laman sesawang yang cantik dan mendapat pujian dari pihak luar.
Sepintas lalu, sekolah ini telah diserahkan oleh kontraktor kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 29 April 2011, manakala saya telah mengambil alih pentadbiran di sini bermula pada 16 Mei 2011. Tindakan awal ialah memastikan kecacatan dan kerosakan perlu dilaporkan kepada kontraktor dan pihak Bahagian Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Seterusnya menerima kemasukan peralatan dan mewujudkan imej sekolah seperti mencipta lencana, bendera, termasuklah mendaftarkan kod sekolah dan mewujudkan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Kewangan.
Dalam masa yang sama, saya menerima kemasukan guru-guru dan kakitangan sokongan di mana merekalah yang menjadi tonggak dalam membantu hal-hal pengurusan dan mencipta gaya imej sekolah yang boleh dibanggakan seperti menghasilkan logo, nama rumah (sistem SBP) ,nama kelas dan sebagainya. Tindakan tersebut telah mendapat pujian oleh Tuan Haji Rosland Bin Hussein, Pengarah BPSBPSK sewaktu lawatan ke SASEM pada 14 Ogos 2011 dan Tuan Haji Mohd Nor Bin A.Ghani, Pengarah Pendidikan Negeri Johor pada 3 Oktober 2011.
SASEM melihat kesempurnaan sekolah bukan sekadar indahnya bangunan, tetapi warga yang mengisinya juga perlu mempunyai nilai tambah khasnya dari sudut ilmu pengetahuan dan pengalamannya. Sehubungan itu, dua aktiviti khas yang telah dilaksanakan seperti perkongsian dan jalinan antara SK Sri Lalang dan Student Integration Academic Programme bersama Sekolah Menengah Sains Johor. Kedua-dua program itu telah memberi impak yang besar kepada guru-guru SASEM. Tahniah kepada Unit Bimbingan & Kaunseling yang diketuai oleh Cik Nor Mazida Bt Yusof dan En Mohamad Rafi Bin Mohd Isa dan semua guru yang terlibat iaitu En. Mohd Syamsul B Saliman, Cik Sarina Bt Ismail, Pn. Siti Sarah Bt Zulkifli, Cik Nurul Jannah Bte Zulkefly, Cik Noor Aisha Bt Zamri ,Cik Rohasni Bt Roslan dan Pn. Halilah Bt Hassan serta guru-guru lain yang terlibat.
Alhamdullilah, dari pemerhatian saya, semua warga SASEM telah menghayati dan mengerti konsep dan reality sebuah sekolah SBP. Tekad dan keinginan bagi membuktikan kehadiran mereka tidak sia-sia, menjadikan saya berbangga dan menerima mereka dengan hati yang terbuka. Tahniah dan terima kasih! Kerajinan dan komitmen anda aspirasi saya untuk menjadikan SASEM sebuah sekolah impian rakyat dan negara. Justeru itu, konsep X-Plus menjadi pegangan dalam merealisasikan visi dan misi sekolah.
Akhir kalam, harapan saya semoga sesi persekolahan tahun hadapan akan seiring dengan azam dan tekad bagi meningkat kualiti dan profesionalisme yang menuntut kepada perubahan paradigma dan anjakan kualiti minda yang tinggi bagi menjamin SASEM mencapai sasaran memperoleh semua A dalam PMR 2013 dan SPM 20% A1 dan 80% A dalam semua mata pelajaran. Buat warga SASEM semua, terima kasih atas segalanya dan kehadiran anda semua akan menjadikan sekolah ini antara sekolah terbaik antara SBP yang lain.

No comments: